Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata beliau sanggup mencadangkan agar PAS dibubarkan sekiranya Umno benar-benar mengikuti landasan Islam.
"Sudah berkali-kali saya sebutkan kepada pemimpin Umno agar tinggalkan perjuangan kebangsaan dan terimalah perjuangan Islam. Kalau hari ini Umno berbuat demikian, maka hari ini juga saya sanggup bubar PAS untuk sama-sama berjuang Islam dengan Umno.
"Namun sampai sekarang mereka tidak sanggup mengubah dasar parti Umno itu kepada dasar Islam! Di manakah duduknya roh Islam dalam Umno? Saya tanyakan persoalan ini untuk dijawab oleh seluruh umat Malaysia," soal Nik Abdul Aziz dalam blognya semalam.
Kata Nik Abdul Aziz, Umno adalah punca utama umat Islam di negara ini keliru apabila mengamalkan politik perkauman sempit dengan melaungkan 'Hidup Melayu' tetapi pada masa yang sama menolak hukum Islam (Hudud).
Menteri Besar berkata Umno mengaku memperjuangkan Islam tetapi pada masa yang sama menolak undang-undang jenayah dalam Islam.
Nik Abdul Aziz menegaskan beliau sudah berkali-kali mengajak parti itu agar mengubah dasar tetapi Umno terus berkeras dengan semangat kebangsaan (perjuangan untuk bela Melayu) malahan berbangga dan mengagung-agungkan semangat perkauman yang sempit dengan melaungkan ‘hidup Melayu.’
Berhubung dengan dasar Perlembagaan Negara, beliau menjelaskan pernah ada kenyataan dari pihak Majlis Peguam Muslim, betapa di dalam Perlembagaan itu tidak pun dinyatakan sebarang peruntukan yang mengesahkan negara kita adalah sekular.
Malah, seorang pakar Perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Abdul Aziz Bari turut menegaskan hakikat Islam adalah agama persekutuan yang sepatutnya diperundangkan dan diamalkan di dalam setiap segi kehidupan di negara ini.
"Kenapakah pemimpin Umno memandang sepi kenyataan ini? Sedangkan di sisi Perlembagaan Negara ia tiada halangan untuk memakai Islam, kerana ia adalah hak mutlak umat Islam. Maka tiadalah sekular sebagaimana didakwa.
"Soalnya, ada pula pemimpin Umno yang beria-ia mempertahankan amalan sekular dengan menolak dasar Islam dalam keadaan tertentu, dan menerima Islam di mana ia menguntungkan Umno.
Justeru katanya, memang selayaknya Umno dikalahkan dalam pilihan raya demi untuk diberi pula peluang kepada pihak lain berkuasa barulah Perlembagaan dapat diperjelaskan mengikut maksud sebenarnya.
"Dalam hal ini, orang Umno patut malu kepada orang India (yang belum Islam) seperti Balasundram dari Dewan Himpunan Penyokong Pas yang sedia menganjurkan seminar bagi memperjelaskan keadilan Islam kepada pihak yang belum memahami hakikat adilnya hukum Islam!.
"Apakah selama ini, pihak Umno tidak terfikir untuk membuat perkara yang sama kepada rakan-rakan dalam BN?," soal beliau lagi.
petikan suara keadilan.