(Salam Wasilah UkhwahFillah dan selamat datang ke laman blog BadrulMukminin.Blogspot.com)

Sunday, August 29, 2010

Erti sebuah kemerdekaan


Saban tahun 31hb ogos merupakan detik bersejarah buat negara malaysia menyambut hari kemerdekaan dengan penuh rasa bangga diiringi dengan kibaran jalur gemilang dan sorakan yang meledak bagaikan bom di sekitar bandar-bandar besar. Perjuangan pahlawan negara menuntut kemerdekaan merupakan salah satu jihad yang wajar dicontohi berbekalkan semangat cintakan negara nyawa sanggup dipertaruhkan semata-mata melihat generasi akan datang hidup dalam keadaan aman dan sejahtera. Kita mengakui dan sedar bahawa kita adalah generasi yang sangat bertuah, lahir sahaja ke dunia berkat pertolongan Allah kita lahir dihospital yang serba lengkap tanpa ada dentuman bom dan ledakan peluru senjata dan persekitaran hospital yang lapang tanpa manusia berpusuh-pusuh meminta rawatan. Namun adakah semua Ini kita insafi, sebaliknya kita rakus dalam kata lain mengambil kesempatan sedikit-demi sedikit menghancurkan keamanan dan kemerdekaan yang bakal kita kecapi.

Penulis melahirkan rasa kecewa secara zahirnya setiap tahun kita mampu menyambut hari kemerdekaan dengan majlis-majlis yang besar dan mewah, tak sah sekiranya tidak diiringi dengan konsert-konsert tertentu dan pasti memakan belanja yang sangat besar. Wang dan harta negara kita memang sangat merdeka, terlalu senang dibuang begitu sahaja tanpa ada manfaat tertentu. Nikmat kemerdekaan yang kita kecapi masih gagal melahirkan insan yang merdeka, apakah makna kemerdekaan itu hanya keseronokan semata-mata tanpa kita fikirkan akhlak anak-anak dan generasi kita terabai hanyut dibuai mimpi tanpa didikan yang sempurna dan landasan hidup yang betul. Menjelang sahaja pesta kemerdekaan maka banyaklah sang gadis berkeliaran seperti polis melakukan ops bersih dengan batas pergaulan yang tidak terjaga, sehingga keesokan harinya bandar akan dipenuhi dengan botol-botol arak dan kondom yang bersepah. Kesian majlis perbandaran tak pasal-pasal kena kutip benda tersebut. Persoalannya apakah kita sudah merdeka?

Makna kemerdekaan diminda penulis masih belum mampu terungkai, kita megah dengan bangunan pencakar langit yang menjadi mercu tanda kejayaan malaysia tetapi malangnya akal kita tidak setinggi bangunan tersebut. Alangkah sedihnya pejuang kemerdekaan negara kita melihat anak bangsa menggadai maruah lantas mencalar kejernihan darah yang mengalir ditubuh mereka. Yang pastinya minda kita terus dijajah dengan budaya asing, gejala sosial terus meningkat, masalah dalam masyarakat semakin sukar dibendung. Kini penulis mengerti realitinya kita belum merdeka. Maka penulis berpesan pada diri yang hina ini dan kepada seluruh rakyat malaysia, marilah bersama-sama kita mengubah mentaliti fikiran kita, ubahla selagi mana kita mampu mengubah kerana kita tahu bahawa kita adalah insan yang lemah tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan. Moga Allah mengekalkan kemerdekaan yang kita kecapi dan memerdekakan apa yang tidak merdeka, moga kita menjadi khalifah berjiwa merdeka dan melaksanakan segala tanggungjawab dengan sehati sebaik serta menghasilkan benih-benih anak bangsa yang bersyukur. SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE 53 DAN SEMOGA KITA MENDAPAT KEBERKATAN ILAHI.


No comments: