LAILATUL Qadar adalah satu malam yang amat agung, kerana ia telah dipilih Allah SWT sebagai malam permulaan Nuzul Quran. Ia permulaan melimpahkan cahaya agama Allah SWT ke seluruh alam di samping limpahan kesejahteraan dan kedamaian yang memancar daripada hidayat Allah (al-Quran) ke atas hati dan kehidupan manusia.Dalam surah al-Qadar ayat terakhir Allah SWT menyebut tanda-tandanya: Sa laamun hiya hatta matla‘il fajr - malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar. Jadi jelas tandanya tidak bersifat lahiriah kerana kedamaian itu adalah sesuatu yang dirasakan. Justeru, dalam surah ad-Dukhan ayat tiga Lailatul Qadar disebut Laylatun mubaarakah kerana kedamaian hati yang bersumber terus daripada Allah adalah berkat yang paling tinggi. Ia bagaikan air sejuk bagi musafir yang kehausan.
Al-Quran adalah sumber pengetahuan tertinggi dan kerananya, kebenarannya tidak diragukan. Ia hanya dapat dicapai melalui darjat intelektual paling tinggi iaitu intelek kenabian. Sekurang-kurangnya jika kita dapat sekadar percikannya pada malam Lailatul Qadar bermakna mujahadah kita waktu itu berhasil menyentuh intelek kenabian. Itulah kenikmatan, sekali gus berkat yang paling tinggi. Inilah malam yang sangat dinantikan oleh umat Islam, malam yang penuh barakah dan lebih baik dari 1,000 bulan. Pada malam itu turun rahmat dan kebaikan-Nya. Pengalaman mendapatkan Lailatul Qadar merupakan pengalaman spiritual dan individual. Tidak semua orang mampu mendapatkannya. Ia tidak boleh dicapai hanya dengan kehadiran kita pada malam-malam ganjil 10 malam terakhir Ramadan.
Rasulullah SAW bersabda: Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir, pada malam ganjil. (riwayat Bukhari dan Muslim). Tentang bila datangn Lailatul Qadar, banyak riwayat mengaitkan dengan malam-malam ganjil di 10 hari terakhir. Mungkin ini ada hubungannya dengan hadis lain yang menyebutkan bahawa “Allah itu ganjil dan menyenangi yang ganjil-ganjil.”
Bagi pencinta tuhan yang mencintaiNya dengan penuh keikhlasan tidak penting bila Lailatul Qadar itu turun. Yang penting baginya adalah menunjukkan kerinduannya kepada kekasihnya secara sungguh-sungguh.Intinya adalah mujahadah iaitu kesungguhan menghidupkan bulan Ramadan dan ritual (yang dibenarkan syariat).
Beberapa hari yang lalu saya dimaklumkan oleh seorang sahabat bahawa JPM telah mengarahkan agar manhaj tarbiyah kampus diubah, tambahnya lagi bahawa pengkaderan ahli hanya akan dibuat selepas 2 semester , ini bermakna sistem pentarbiyahan kampus juga harus diubah terutamanya dari sudut perlaksanaan peringkat tarbiyah ahli baru. Bagi pandangan saya perubahan sistem tarbiyah ini mempunyai pro dan kontranya, saya tidak berani untuk membuat kritikan tetapi saya akan mengulas berdasarkan pandangan peribadi kerana arahan ini adalah arahan yang turun daripada pihak atasan.
Perubahan yang berlaku ini bukanlah dianggap sebagai suatu isu sehingga kita perlu membuat pendirian peribadi mengenai hal ehwal tarbiyah kampus, tetapi saya melihat bahawa arahan ini 100% kesannya keatas melahirkan ahli baru. Menyokong ataupun tidak bukanlah perkara penting kerana melaksanakannya itu lebih penting. Sahabat tersebut menanyakan pendapat saya, dan saya menjawab kali ini pimpinan kampus termasuk nuqabah harus lebih bekerja keras terutamanya yang mempunyai kepentingan dalam urusan usrah. Bayangkanlah sahabat sekalian 2 semester berada dalam marhala taarif tanpa diikat dalam jemaah merupakan satu cabaran terbesar bagi para nuqabah dalam memberi pemahaman kepada adik-adik. Jika dahulu marhala taarif hanya dibuat satu semester dan kemudiannya akan di back-up pada marhala takwin dengan pengisian yang berlainan. Maka soal pokoknya kembali semula kepada kekuatan usrah yang akan dilaksanakan, samada usrah yang panjang itu mampu memberi tahap kefahaman yang tinggi kepada adik-adik ataupun ia akan terhenti dipertengahan jalan. Hal ini kerana kita memandang pada pengalaman sekarang dan dahulu, usrah hanya mampu berjalan satu semester sahaja itupun dalam keadaan terumbang ambing apatah lagi nak laksanakannya selama 2 semester.
Pada masa yang sama jika diteliti semula manhaj yang baru ini juga mempunyai kelebihannya yang tersendiri, disamping dapat melahirkan ahli-ahli baru yang benar-benar bersedia dalam perjuangan dan sekaligus mengelakkan gejala kefuturan berlaku. Manhaj ini, bagi pendapat saya sekiranya nuqabah mampu melaksanakannya mengikut perancangan yang tersusun tidak mustahil kita akan mampu melahirkan ahli yang benar-benar faham dalam gerak kerja, bukan itu sahaja apa yang saya lihat manhaj ini juga mampu mengupayakan gerak kerja ahli terutamanya naqib ke arah yang lebih profesional. Sudah tentu dan pasti nuqabah yang dilantik harusllah seorang yang kreatif dan mempunyai tahap pemikiran yang tinggi barulah mampu melahirkan suasana usrah yang menarik.
Walauapapun penyataannya saya melihat manhaj yang baru ini lebih kepada menggerakkan 100% ahli yang sedia ada dalam gerak kerja dan dalam usaha melahirkan ahli baru yang lebih berkualiti. Oleh yang demikian jangan hairan peratusan pengkaderan untuk kepimpinan sesi ini akan merosot sekiranya pimpinan kampus itu sendiri gagal dalam melaksanakan modul yang telah dirangka dengan rapi oleh JPM.
Dalam mengharungi medan dakwah usrah merupakan perkara pokok yang harus dianggap penting oleh ahli gerakan islam, malah ia menjadi nadi kerana islam memandang sangat mustahak hal yang bersangkut paut dengan ikatan perpaduan. Sepanjang pemerhatian dan pengamatan saya selama lebih kurang setahun sebagai pimpinan kampus dan sedikit sebanyak mempunyai tanggungjawab dalam urusan pemantaun usrah, usrah yang dihasilkan terutamanya ahli gerakan kampus masih berada dalam tahap yang mengelirukan, kadang-kadang gagal mewujudkan suasana usrah yang bertepatan dengan maksud usrah itu sendiri yakni “keluarga”, entah dimana silapnya maka saya meneliti semula dengan membuat penilaian termasuklah usrah yang telah saya jalankan. Sekiranya kita nak mempersoalkan kesilapan yang wujud maka kita akui sebagai insan biasa memang terlalu banyak kesilapan dan kelompangan yang berlaku, semuanya berpunca kerana kita gagal memahamirukun yang dianggap asas dalam usrah. Apa yang boleh saya katakan kita “Sekadar manis dibibir tapi tersangat pahit dengan realiti sebenar” lidah mudah berkata tapi gagal menyempurnakannya dengan perbuatan.
Dalam sebuah kitab karangan Imam Hassan Al-Banna yang bertajuk “ usrah dan dakwah “ telah menggariskan 3 rukun yang mana semua sedia maklum iaitu yang pertama disebut ta`aruf atau berkenalan. Rukun yang pertama dalam kitab ini menekankan hakikat “ ukhwah” ataupun persaudaraan dikalangan ahli, ia dianggap TERSANGAT penting sehinggakan Imam Hassan Al-Banna mengatakan ini bermakna tidak seharusnya ada perbuatan yang kita lakukan sehingga boleh menjejaskan perhubungan yang telah terbina . MAKA SAYA BERPANDANGAN KITA GAGAL DALAM RUKUN YANG PERTAMA INI kerana sepanjang pemerhatian saya kita hanya mampu membuatnya ketika dalam usrah sahaja tetapi gagal mempraktikkannya ketika diluar usrah. Pengamatan saya tetap menebal pada rukun usrah yang pertama KERANA kita tidak akan mampu membina asas bersefahaman ataupun “tafaahum” pada rukun usrah yang kedua apatah lagi menuju kepada tahap yang lebih agung yakni pada rukun usrah yang ketiga iaitu tolong-menolong atau disebut sebagai “takaaful”.
Banyak persoalan yang bermain difikiran saya telah terjawab yang menjawab persolan-persoalan mengapa usrah aku tidak menarik? Persoalan ini terjawab kerana kita gagal berkenalan dalam erti kata lain MENGENALI ahli kita dengan sebenar-benarnya, kita gagal mengetahui kehendak ahli usrah kita, kita gagal menjaga hati ahli usrah kita, kita tidak menjaga pertuturan kita, sifat pentingkan diri-sendiri masih menyelubungi diri kita, kita tidak fikirkan soal perasaan ahli kita, tapi dalam masa 24 jam kita terlalu banyak menghabiskan masa untuk diri kita, sedangkan dalam pada masa yang sama ada dikalangan ahli yang berkecil hati kerana kita dan akhirnya wujudlah sebuah usrah yang tidak menarik, bosan dan menyakitkan hati. Walaupun penulisan ini seakan-akan seperti mengkritik tetapi ia realiti berlaku, oleh yang demikian untuk mewujudkan usrah yang baik, semua perkara tidak boleh terletak dibahu naqib semata-mata tetapi semua ahli haruslah memahami bersama. Hakikatnya ahli usrah kita ibarat keluarga yang harus kita kenal hati budinya dan janganla kita sesekali melayannya seperti seorang hamba atau seperti binatang yang tiada perasaan.
Kita semua maklum bahawa keikhlasan itu menjadi pra-syarat untuk apa-apa amalan kita diterima oleh Allah swt. Kerana kita inginkan amalan kitalah yang bakal menjelma sebagai makhluk yang indah bila kita di dalam alam barzakh nanti, kita berharap agar amalan kitalah yang dapat membela kita pada hari pembalasan kelak.
Sudah tentu, niat pada permulaan kita membuat sesuatu, hinggalah ke akhirnya perlulah hanya kerana Allah semata-mata. Tidak kira amalan itu menyentuh perkara peribadi mahupun dalam kehidupan berdakwah. Namun, ibarat kita hendak mengenal samada kita sudah terkena penyakit 'chicken pox' dan sebagainya, ada tanda-tanda yang dapat menolong kita memastikan adakah benar kita ini ikhlas.
Antaranya:-
-Kita takutkan sanjungan dan pujian manusia.
-Kita tidak berasa hati apabila usaha dikritik oleh manusia.
-Kita tidak berasa bangga bila dipuji.
-Kita sentiasa menganggap diri cuai dalam ibadah akibat sikap taajub akan diri sendiri.
-Tidak malas, lembab dan ketinggalan dalam kesusahan.
-Tidak jemu dalam berusaha mengajak orang kepada Islam.
-Tidak menjauhkan diri dari jemaah walau dicaci manusia.
-Di dalam organisasi/jemaah, tidak teringin menjadi ketua tetapi tetap bekerja dan menyumbang.
-Menjadi pemimpin atau pengikut, mana satu tidak menjadi hal.
-Tidak marah malah gembira, bila muncul seorang yang baru menjadi ketua (namun bukan bermaksud tanggungjawabnya sendiri berkurang, kerana amanah bukan dari manusia tetapi dari Allah)
Begitulah antara perkara-perkara yang perlu kita perhatikan. Ini hanyalah panduan sahaja sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan amalan diri kita sendiri bersih dari sifat ria', taajub, takabbur dan seumpamanya. Pekerjaan yang zahirnya baik, tetapi jika diselimuti oleh segala sifat yang batil tersebut, maka sia-sialah di sisi Allah swt. Hatta mereka yang berperang di saff hadapan dan mati di medan peperangan. Walau bagaimanapun, atas kelemahan manusia, tidak layak sebenarnya untuk menilai atau menghukum orang lain ikhlas ataupun tidak. Kita hanya boleh melihat yang zahir sahaja. Allah swt yang Maha Mengetahui dan hanya Allah swt sahajalah yang berhak membalas segala amalan. Samada amalan yang baik atau sebaliknya.
Oleh itu sama-samalah kita berdoa: Wahai Tuhan kami! Perbaikilah hati kami, hapuskanlah cacat cela kami, pimpinlah kami ke arah kebaikan, hiasilah kami dengan taqwa, kurniakanlah kepada kami taat setia kepadaMu sepanjang hidup kami. Tuhan kami! Jadilah kami ikhlas kepadaMu, syukur kepadaMu, bertawakkal kepadaMu, taubat kepadaMu, khusyuk kepadaMu. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami mohon kepadaMu ketetapan di dalam urusan ini keazaman di dalam hidayah tolonglah kami mengingat Engkau menyebut namaMu mensyukuri Engkau baik ibadat kepadaMu.
Sebelum Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut: "Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."
1. HAK KEPADA DIRI Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.
2. HAK KEPADA MALAIKAT MAUT Mengqada kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.
3. HAK KEPADA KUBUR Membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajud dan membantu orang yang dizalimi.
4. HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR Tidak berdusta, sentiasa berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.
5. HAK KEPADA MIZAN (Neraca timbangan amal pada hari akhirat) Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.
6. HAK KEPADA SIRAT (Titian yang merentangi neraka pada hari akhirat) Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.
7. HAK KEPADA MALIK (Penjaga neraka) Menangis lantaran takutkan Allah s.w.t., berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperbaiki akhlak.
8. HAK KEPADA RIDHWAN (Malaikat penjaga syurga) Berasa redha dengan Qada' Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.
9. HAK KEPADA NABI MUHAMMAD S.A.W. Berselawat ke atas Baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadis), menyayangi para sahabat dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.
10. HAK KEPADA ALLAH S.W.T. Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.