(Salam Wasilah UkhwahFillah dan selamat datang ke laman blog BadrulMukminin.Blogspot.com)

Friday, April 23, 2010

TIPS menghasilkan sebuah organisasi yang cemerlang


Mari berkongsi ilmu berkaitan organisasi. Tips yang akan saya berikan ini adalah bersumberkan sebuah kertas kerja yang dihasilkan oleh seorang presiden parti yang terkenal didunia, beliau merupakan keluaran universiti luar negara dalam jurusan siasah. Apabila kita katakan berkaitan organisasi maka suka penulis kongsikan pengalaman yang tak seberapa ini, bahawa orang yang terdedah pada mana-mana organisasi merupakan seorang yang peka dan berjiwa cintakan kehidupan kerana apa sekalipun kita tidak boleh sangkal bahawa organisasi melingkari segenap aktiviti kehidupan kita. Tips ini sangat berguna bagi insan-insan yang baru mula-mula berjinak dalam bidang organisasi termasuklah saya sendiri.

1. Kenalpasti sasaran dan objektif organisasi

- Duduklah dalam meja bulat untuk bincangkan sasaran dan objektif yang dikehendaki oleh organisasi anda. Sekiranya tidak ada sasaran atau objektif percayalah bahawa organisasi anda akan buat kerja yang sia-sia.

2. Sistem pemantauan

- Jika anda adalah seorang ketua, pengerusi atau sebagainya maka anda kena aktifkan diri anda memantau segala gerak kerja yang telah dibuat berdasarkan perancangan yang telah di persetujui bersama, sentiasalah rujuk takwim aktiviti yang telah anda tetapkan.

3. Perluaskan peranan lajnah atau unit yang telah ditubuh dalam organisasi

- Pastikan unit-unit tersebut memainkan peranan mengikut bidang tugas masing-masing. Kadang-kadang ketua atau pengerusi perlu kreatif merangka pelan tindakan yang perlu dilaksanakan oleh unit tersebut.

4. Kenalpasti konsep pengurusan terkini

- Konsep pengurusan organisasi merupakan satu bidang yang memerlukan pembelajaran yang berterusan. Jika anda merupakan seorang yang kreatif maka anda boleh rangka satu sistem pengurusan yang sistematik dan perkara ini adalah tertakluk kepada keaktifan setiausaha selaku nadi dalam organisasi.

5. Anjurkan kursus

- Perkara ini adalah sangat penting dalam meningkatkan kemahiran ahli. Contohnya anjurkan kursus berkaitan dengan multimedia atau protokol, ianya bergantung kepada konsep organisasi anda.

6. Lahirkan pemimpin

- Sebuah organisasi yang baik adalah organisasi yang boleh menghasilkan golongan pelapis yang mampu mentadbir. Sebagai ketua beri perhatian sepenuhnya kepada orang-orang yang menyerlah dalam organisasi anda dan berilah mereka peranan yang penting dalam organisasi kerana ia mampu menambah minat mereka bergerak kerja.

7. Manfaatkan sumber tenaga sedia ada

- Jika dalam organisasi anda ada 30 orang ahli atau lebih daripada itu maka setiap satu daripada ahli tersebut harus diaktifkan. Oleh yang demikian, peranan ketua terlalu berat sehingga ia perlu memikirkan kerja yang perlu dibuat oleh ahli-ahlinya.

8. Gerak kerja berteraskan amal jamaie.

- Bekerjala secara berkumpulan dengan bekerjasama dan jangan kerja secara berseorangan kerana itula penyebab utama timbulnya tekanan dan beban dalam organisasi.

Terlalu banyak lagi tips-tips yang berguna dan boleh diguna pakai, tetapi tips inilah yang saya aplikasikan ketika mentadbir sebuah organisasi kecil. Berjaya atau tidak maka step yang terakhir ketua atau pengerusi perlu buat penilaian semula berdasarkan sasaran dan objektif dalam kata lain visi dan misi organisasi anda. Moga perkongsian yang sedikit ini dijadikan teladan dan pengajaran. Apa yang paling penting ialah seorang pemimpin sekiranya nak memimpin harus bijak mempengaruh bukan dipengaruh, maka harus ada pendirian diri, kita tidak mahu orang sanjung kerana hebatnya kita bekerja tapi biarlah apa yang kita buat memberi makna dan kesan pada orang-orang tertentu walau dalam keadaan bersembunyi.

No comments: